Sejarah

Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, atau lebih dikenali dengan nama singkatan SEMASHUR telah dibuka dengan rasminya pada 16 Jun 2000. Seramai 25 orang guru perintis telah menjadi kumpulan guru pertama yang telah melaporkan diri pada 20 Jun 2000. Pada ketika itu, hanya terdapat jawatan Penolong Kanan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan 23 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

 

Kumpulan guru perintis ini telah bertungkus lumus membuat persiapan bagi menerima kemasukkan pelajar-pelajar yang dijadualkan sebulan dari tarikh guru-guru melapor diri. Pada 21 Julai 2000, seramai 180 orang pelajar tingkatan satu mula melaporkan diri di SEMASHUR. Mereka merupakan kumpulan pelajar yang pertama ditempatkan di sekolah ini. Pada Januari 2001, SEMASHUR telah menerima pengambilan pertama pelajar-pelajar tingkatan empat.

 

Sejarah telah tercipta pada tahun 2009, apabila SEMASHUR telah dianugerahkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Kohort ke-3 dengan kebitaraan Ragbi, Matematik dan Unit Beruniform. Tiga tahun berikutnya, sejarah tercipta sekali lagi apabila SEMASHUR diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort Ke-3 pada Disember 2012. Etos sekolah adalah Ragbi dan Inovasi Sains.

 

2

Matlamat penubuhan SEMASHUR adalah selaras dengan penubuhan SBP iaitu untuk mencapai sasaran kecemerlangan akademik yang tinggi dari segi kualiti dan kuantiti. Di samping itu, SEMASHUR diharap menjadi wadah dan pemangkin kepada kecemerlangan akademik di Negeri, Kebangsaan dan Antarabangsa.